Selasa, 9 April 2013

Rakyat patut beri mandat PR memerintah Malaysia jika mahu kerajaan bersih, telus, berintegriti

 Roketkini.com



SHAH ALAM: Kejayaan membanggakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mentadbir negeri Pulau Mutiara adalah bukti Pakatan Rakyat (PR) mampu mentadbir Putrajaya dengan lebih baik jika diberi mandat, terutama dalam membanteras rasuah dan mengurangkan kemiskinan rakyat.

Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata selain melaksanakan tender terbuka, Pulau Pinang juga berjaya mengurangkan hutang negeri daripada RM630 juta kepada RM30 juta dalam masa lima tahun yang ternyata gagal dilaksanakan BN di negeri yang ditadbirnya.

“PR mentadbir negeri dan menganggap wang negeri sebagai wang rakyat bukan seperti BN yang menganggap wang negeri dan negara sebagai wang sendiri sebab itu mereka membelanjakan sesuka hati dan secara boros.

“Kerajaan negeri yang diperintah PR mampu agihkan kekayaan kepada rakyat bila memperolehi keuntungan, BN beri wang juga walaupun negara sudah 15 tahun mengalami defisit sebab itu kita bimbang negara akan muflis jika terus diperintah BN,” katanya baru-baru ini dalam program Bicara Minda & Sesi Dialog anjuran Sinar Harian.

Beliau berkata, hasil ketelusan dan integriti, Selangor juga mencatat kejayaan meningkatkan rizab kerajaan negeri daripada RM760 juta pada 2008 kini kepada hampir RM2.7 bilion.

Justeru itu, Abdul Hadi meminta rakyat terus memilih PR pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti jika mahu Malaysia ditadbir dengan lebih telus dan berintegriti oleh pemimpin yang bersih dan tidak memperkayakan kroni.

“Memadai rakyat menilai dan membezakan pencapaian negeri yang ditadbir PR dalam masa singkat iaitu satu penggal berbanding negeri yang sudah lebih 50 tahun ditadbir BN.

“Saya tidak menafikan apa yang dilaksanakan kerajaan BN, termasuk kemudahan infrastruktur, bekalan elektrik dan sebagainya. tetapi cara mereka menguruskan perbelanjaan itu dipertikaikan.

“Misalnya Projek RM2 bilion boleh meningkat kepada RM4 bilion. Buat stadium satu perkara baik, kebajikan untuk anak-anak muda, dewasa, tapi kenapa boleh runtuh, Di Terengganu, dulu Darul Iman, tapi sekarang ‘Darul Runtuh’,” katanya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: