Rabu, 3 April 2013

Saifuddin: BN sedia hadapi Pas di Temerloh

Wartawan Sinar Harian

Datuk Saifuddin Abdullah
Datuk Saifuddin Abdullah
 
SHAH ALAM - Datuk Saifuddin Abdullah mengalu-alukan pencalonan Ketua Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan untuk bertanding di kerusi Parlimen Temerloh pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Sambil mengucapkan tahniah kepada Nasrudin, Ahli Parlimen Temerloh ini berkata, beliau sebenarnya telah menjangkakan yang PKR akan menurunkan calonnya di kawasan tersebut.

"Saya menjangkakan PKR akan bertanding di sini kerana mereka telah bekerja keras sejak selepas PRU12 lagi.

"Apa-apa pun BN bersedia berhadapan dengan sesiapa sahaja. Jentera BN telah bersiap lengkap dan para sukarelawan kami bersemangat tinggi," kata beliau yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.

Nasrudin diumumkan sebagai calon Temerloh oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam.
Saifuddin yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, beliau menunggu nama calon yang bakal diumumkn pucuk pimpinan parti untuk mewakili Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu katanya, sekiranya tidak bertanding, beliau akan membantu calon yang dipilih dan bekerja untuk kemenangan BN.

"Saya telah SMS Nasrudin, ucap tahniah kerana dipilih bertanding, selamat datang ke Temerloh dan kalau saya yang tanding, akan berkempen sihat sama seperti masa saya bertanding dengan Nizam PKR pada PRU12.

"Berdasarkan rekod perkhidmatan BN, siapapun calon pembangkang, saya optimis yang pengundi akan terus menyokong BN," katanya.

Tiada ulasan: