Isnin, 8 April 2013

Saifuddin Nasution beralih ke Kedah



 
PKR menyenaraikan empat muka baharu dan seorang penyandang bagi mempertahankan lima kerusi parlimennya di Kedah pada pilihan raya umum ke-13 ini.

Mereka termasuk Setiausaha Agungnya Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang akan bertanding di kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baru. Saifuddin merupakan penyandang kerusi Parlimen Machang, Kelantan.

Ketika berucap pada satu ceramah di Bandar Laguna Merbok dekat sini malam tadi, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan Naib Presiden parti N Surendran sebagai calon di kerusi Parlimen Padang Serai.

Dua lagi muka baharu ialah Ketua Wanita Cabang Sungai Petani Nor Azrina Surip @ Nurin Aina Abdullah (Parlimen Merbok) dan Ketua PKR Cabang Kuala Kedah Dr Azman Ismail (Kuala Kedah), manakala Datuk Johari Abdul kekal bagi mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Petani.

Pada pilihan raya umum 2008, PKR menang di lima daripada tujuh kerusi parlimen yang ditandinginya. Mereka tewas di kawasan Parlimen Alor Setar dan Langkawi.

Di kerusi Parlimen Merbok, PKR menang menerusi Datuk Rashid Din yang menewaskan calon Barisan Nasional Datuk Tajul Urus Mat Zain dengan majoriti 3,098 undi.

Kerusi Parlimen Kulim/Bandar Baharu dan Padang Serai pula masing-masing dimenangi menerusi Datuk Zulkifli Noordin dan N Gobalakrishnan namun kedua-duanya bertindak keluar parti selepas itu dan menjadi Anggota Parlimen Bebas.

Bagi kerusi Parlimen Sungai Petani, Johari menewaskan bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin manakala kawasan Parlimen Kuala Kedah dimenangi oleh Ahmad Kasim.

Anwar baru-baru ini mengumumkan Ketua Biro Perundangan PKR Gooi Hsiao Leung sebagai calon di kerusi Parlimen Alor Setar tetapi mendapat bantahan DAP Kedah yang turut mahu bertanding di kerusi itu.- Bernama

Tiada ulasan: