Jumaat, 12 April 2013

Senator Australia fail permohonan batalkan notis KP Imigresen

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Seorang senator Australia memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini untuk membatalkan notis yang dikeluarkan Ketua Pengarah Imigresen yang menghalang beliau daripada memasuki Malaysia dua bulan lepas.

Nick Xenophon memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan Ranjit Singh & Yeoh semalam dan menamakan ketua pengarah Imigresen sebagai responden tunggal.

Beliau menyatakan responden gagal mengambil kira fakta yang mempunyai kaitan berhubung lawatannya ke Malaysia dan membuat keputusan yang sangat tidak adil dan tidak berlandaskan undang-undang.

Beliau mendakwa lawatannya ke Malaysia adalah untuk mengambil bahagian dalam dialog bukan partisan dan mendakwa responden bertindak atas alasan politik dan bukannya atas alasan yang sah.

Xenophon mendakwa keputusan ketua pengarah Imigresen menghalang beliau daripada memasuki negara ini pada 16 Februari tahun ini telah melanggari peraturan keadilan asasi kerana gagal memberi beliau peluang untuk mengemukakan fakta yang mempunyai kaitan dengan lawatannya itu.

Selain memohon perintah untuk membatalkan notis menghalang daripada masuk bertarikh 16 Februari oleh responden, beliau turut memohon perintah mandamus untuk mendesak responden supaya membenarkan beliau memasuki Malaysia.

Beliau turut memohon ganti rugi, kos dan relif lain yang difikirkan layak dan wajar oleh mahkamah.- Bernama

Tiada ulasan: