Khamis, 11 April 2013

Setiausaha politik Najib enggan ulas MCA, terus berkempen di Wangsa Maju

Oleh Md Izwan

 Setiausaha politik kepada Datuk Seri Najib Razak, Datuk Shafie Abdullah akan bertanding di kerusi Parlimen Wangsa Maju dalam pilihan raya umum pada 5 Mei ini. — Gambar oleh Choo Choo MayKUALA LUMPUR — Setiausaha politik kepada Datuk Seri Najib Razak, Datuk Shafie Abdullah enggan mengulas kenyataan MCA mengatakan beliau cuba merampas kerusi Parlimen Wangsa Maju semalam.

Shafie menegaskan tiada keperluan untuk menjawab tuduhan oleh Setiausaha Organisasi MCA Wangsa Maju Lim Choon Hong itu.

“Tiada komen... tidak perlu rasanya,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Wangsa Maju itu apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider.

Walau bagaimanapun, Shafie berkata aktiviti berkempen berjalan seperti biasa dan diteruskan sehinggalah hari membuang undi pada 5 Mei nanti.

“Hari ini saya baru habis berkempen di Klinik Rakyat 1Malaysia. Sabtu dan Ahad ini saya meneruskan kempen dengan menjelajah ke seluruh Wangsa Maju untuk bertemu dengan penduduk  sekitar,” katanya lagi.

Semalam, Lim menuduh perlantikkan Shafie sebagai ketua BN Wangsa Maju adalah bertujuan untuk merampas kawasan pilihan raya mereka yang merupakan kerusi tradisi untuk MCA di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Calon MCA pada 2008, Datuk Yew Teong Lock telah tewas sebanyak 150 majoriti kepada calon PKR Wee Choo Keong yang  kemudiaan mengumumkan keluar parti pada 2010 dan menjadi ahli parlimen bebas.

Terdapat banyak spekulasi media bahawa Shafie telah mendapat restu kepimpinan Umno pusat untuk bertanding di Wangsa Maju terutamanya selepas menghadiri satu program bersama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lepas.

Dalam pada itu, Najib semalam berkata senarai calon BN bagi pilihan raya umum ke-13 dijangka diumumkan minggu ini.

Pengundi kaum Melayu merupakan yang terbesar di kerusi parlimen Wangsa Maju dengan 35, 258 (53.28 peratus) orang, diikuti kaum Cina 24, 000 (36.27   peratus) dan India dengan 5,741 (8.68 peratus).

Parlimen Wangsa Maju mempunyai pengundi paling ramai yang berusia antara 30-49 tahun dengan 45.68 peratus (30, 230) dan   diikuti golongan pesara yang berusia antara 50-69 tahun dengan 31.66 peratus (20, 953).

Tiada ulasan: