Rabu, 17 April 2013

Sivarasa dedah calon BN Sepang terlibat jenayah wang haram

Oleh Arif Juhani

PETALING JAYA : KEADILAN mendedahkan penglibatan calon Umno BN di Parlimen Sepang, Datuk Seri Ir Mohd Zain Mohamed dalam jenayah aliran wang haram RM31 juta yang diperoleh dari Bangladesh antara Ogos 2000 hingga 2004.

Naib Presiden, Sivarasa Rasiah berkata, Mohd Zin menerima wang haram itu ketika menjawat jawatan Timbalan Menteri Kerja Raya dan Ahli Parlimen Shah Alam.

“Wang haram ini diberikan oleh salah seorang daripada dua rakan kongsinya di Bangladesh iaitu Sheikh Farid Ahmed. Di Bangladesh, Farid dikenali sebagai Manik.

Siva

Pada tahun 2000, mereka bertiga menubuhkan Silkways Cargo Services Ltd di Dhaka, Bangladesh dan memujuk syarikat MAS untuk melantik syarikat ini sebagai ejen jualan am MAS di Bangladesh yang mengendalikan hal ehwal tiket dan kargo,” jelas Sivarasa.

Beliau mendedahkan demikian pada sidang media di ibu pejabat parti hari ini.

Sambung Sivarasa, penghantaran wang haram atau lebih dikenali sebagai ‘Hundi’ di Bangladesh disedari oleh pemegang sebahagian saham Mohd Zin iaitu Mohamad Tahir Fazal Mohd yang mempunyai sebanyak 24% daripada 49% saham Mohd Zin.

“Tahir kemudiannya membuat laporan polis terhadap Farid di Dhaka pada 2007 yang menyebabkan Farid ditahan pada 27 Julai 2007.

“Selepas didapati bersalah, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun. Difahamkan beliau sedang merayu diringankan hukuman,” kata Sivarasa yang akan mempertahan kemenangan KEADILAN di Parlimen Subang.

Hadir sama sidang media, Tahir Fazal.

Dalam pada itu, Sivarasa mempertikai Mohd Zin yang bukan sahaja masih bebas bahkan dipilih sebagai calon Umno BN di Sepang.

“Tahir melaporkan jenayah ini kepada BPR (Badan Pencegah Rasuah kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)) pada 2004 tetapi tiga orang pegawai BPR yang ditemui mendakwa PM (Tun Abdullah Ahmad Badawi) tidak membenarkan siasatan terhadap Mohd Zin.

“Ini isu besar ketika ini kerana laporan SPRM yang dikeluarkan berkaitan calon Umno BN boleh diragui kredibilitinya,” kata Sivarasa menambah, laporan polis akan dibuat bagi membolehkan kes berkenaan segera disiasat  – NS

Tiada ulasan: