Rabu, 24 April 2013

Sivarasa lapor polis, mahu calon BN terlibat jenayah wang haram disiasat

Oleh Aisha Geoffrey

KUALA LUMPUR L: Ahli Biro Politik KEADILAN, R Sivarasa membuat laporan polis berhubung penglibatan calon BN Parlimen Sepang, Datuk Seri Ir Mohd Zain Mohamed dalam jenayah aliran wang haram bernilai RM31 juta.

Mohd Zin memperoleh wang haram itu dari Bangladesh antara Ogos 2000 hingga 2004 ketika menjawat jawatan Timbalan Menteri Kerja Raya dan Ahli Parlimen Shah Alam.

“Saya buat laporan polis berdasarkan dokumen-dokumen terhadap Mohd Zin yang menjelaskan asas laporan saya,” kata Sivarasa pada sidang media di ibu pejabat parti semalam, selepas membuat laporan di Balai Polis Tropicana, Petaling Jaya bersama mangsa kes, Mohamad Tahir Fazal Mohd.

Beliau turut melampirkan salinan laporan polis serta dokumen yang menunjukkan akuan bersumpah oleh rakan kongsi Mohd Zin di Bangladesh, Sheikh Farid Ahmad dan individu yang bertanggungjawab menghantar wang tersebut, Mohd Kamil Shaharuddin.

Kamil dalam akuannya berkata, beliau pernah menghantar wang berjumlah RM300,000 pada 2000 sehingga 2001.

“Kedua-duanya membuktikan bahawa Mohd Zin terlibat menerima wang haram yang dihantar dari Bangladesh. Beliau menerima RM31 juta sehingga Ogos 2004,” kata Sivarasa yang juga calon Parlimen Subang.

Pada 2000, Mohd Zin bersama Farid dan Sheikh Riaz Ahmad menubuhkan Silkways Cargo Services Ltd di Dhaka, Bangladesh.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh, Mohd Zin mempunyai 49 peratus pegangan dan dikongsi bersama rakan di Malaysia, Mohamad Tahir dengan 24 peratus.

Pada 2004, Tahir membuat laporan terhadap Badan Pencegah Rasuah (BPR) tetapi dimaklumkan pegawai penyiasat bahawa kes berkenaan tidak boleh diambil ekoran ‘tidak mendapat lampu hijau dari pihak atasan’.

Kemudian pada 2007, Tahir membuat laporan kepada pihak berkuasa Dhaka. Farid ditahan pada 27 Julai 2007 serta disiasat, dan akhirnya beliau didapati mempunyai hubung kait dengan kes berkenaan dan dijatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun.

“Malangnya, penerima wang haram di Malaysia, Mohd Zin masih bebas tanpa siasatan, sebaliknya beliau dicalonkan untuk menjadi wakil rakyat,” kata Sivarasa.

“Laporan polis ini supaya siasatan diambil terhadap Mohd Zin dan BPR. Mengapa tiada tindakan sejak laporan dibuat Tahir pada 2004?” katanya.

“Adakah wujud penyalahgunaan kuasa oleh pihak tertentu untuk menyekat siasatan kerana melibatkan ahli politik BN?” kata Sivarasa.

Tiada ulasan: