Rabu, 24 April 2013

Sokongan meningkat 70 peratus – Khalid Samad

MALAYSIA CHRONILE

KUALA LUMPUR- Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Abdul Samad yakin dengan peningkatan sokongan sebanyak 70 peratus, Pakatan Rakyat mampu mempertahankan kerusi Parlimen Shah Alam.

Beliau merujuk kepada sambutan dan sokongan yang diberikan oleh pengundi Shah Alam sepanjang tempoh berkempen selama tiga hari mulai hari penamaan calon Sabtu lepas.

Khalid yang ditemui sewaktu program kunjungan beliau bertemu pengundi di Seksyen 16 pagi tadi menyatakan sokongan pengundi Melayu telah meningkat sejak 2008.

"Tinjauan kita sepanjang tempoh berkempen mendapati sokongan meningkat kepada 70 peratus, ini juga termasuk kepada sokongan pengundi Melayu, bagi bukan Melayu kita mengetahui mereka telah lama menyokong Pakatan Rakyat.

"Setiap tempat yang saya kunjungi pengundi Shah Alam menyatakan sokongan mereka kepada Pakatan Rakyat khususnya PAS," jelas beliau kepada Harakahdaily.

Dalam pada itu, Khalid memberitahu kenyataan yang dikeluarkan Barisan Nasional (BN) mengatakan beliau menolak untuk berdebat dengan Datuk Zulkifli Noordin kerana mendapat nasihat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar ibrahim adalah propaganda BN.

"Malah sebelum ini mereka (BN) turut menyebar propaganda mengatakan saya minta dipindahkan kerusi ke tempat lain apabila mengetahui Zul Noordin akan bertanding di Shah Alam, ini semua fitnah serta propaganda murah mereka," kata beliau.

Beliau berharap pengundi di Shah Alam tidak tertipu dengan penyebaran propaganda palsu BN yang semakin hilang sokongan rakyat.-harakahdaily

Tiada ulasan: