Jumaat, 26 April 2013

SPR buat pembetulan kesilapan senarai pengundi awal dan cetak semula buku DPPR

SINAR HARIAN

SPR
SPR
 
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membuat pembetulan dan mencetak semula buku Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) ekoran berlaku kesilapan mencetak senarai pemilih pengundi awal di dalam buku tersebut.

Setiausaha SPR Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata buku DPPR itu telahpun diedarkan semula kepada Pegawai Pengurus dan calon-calon di bahagian pilihan raya yang terlibat mulai hari ini melalui pejabat pilihan raya negeri yang berkenaan.

"SPR juga akan menulis surat kepada pemimpin parti politik yang terlibat untuk memaklumkan mengenai kesilapan itu dan memastikan bahawa buku DPPR yang digunakan calon, ejen calon dan petugas SPR di pusat pengundian awal adalah sama," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kamaruddin berkata kesilapan percetakan itu hanya melibatkan 572 orang pemilih daripada 272,387 senarai nama pengundi awal di seluruh negara yang melibatkan 80 bahagian Pilihan Raya Parlimen, 84 Dewan Undangan Negeri (Dun) dan membabitkan 114 pusat pengundian awal di seluruh negara.

Beliau berkata semakan SPR mendapati kesilapan itu berlaku semasa mencetak nombor kad pengenalan 12 angka dan nombor perkhidmatan bagi pemilih Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada ruangan dalam buku DPPR pengundian awal itu. 

Kamaruddin berkata SPR mendapati berlakunya kesilapan mencetak senarai pemilih pengundian awal dalam DPPR yang disediakan dalam bentuk buku dan bukan dalam bentuk cakera padat (CD).

Bagaimanapun, kesilapan itu tidak berlaku dalam Daftar Pemilih Pengundian Awal yang boleh disemak melalui laman sesawang SPR, portal PRU13 dan sistem pesanan ringkas (SMS).

"Ini kerana, maklumat yang diperolehi melalui sistem semakan itu menunjukkan bahawa maklumat identiti pengundi itu adalah lengkap dan sama seperti dalam pangkalan data Daftar Pemilih SPR," katanya.

Untuk makluman, DPPR yang dikeluarkan SPR bagi PRU13 itu boleh dibeli dalam dua bentuk iaitu buku dan CD.

"Tindakan pembetulan ini tidak mengakibatkan berlaku pertambahan atau pengurangan kepada bilangan pemilih dan juga perubahan maklumat bagi pemilih-pemilih di pusat-pusat pengundian awal berkenaan," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: