Khamis, 25 April 2013

SPR dipantau kumpulan pendesak profesional


DETIK DAILY 
Berikut pandangan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mengenai tanggungjawab SPR bagi memastikan perjalanan PRU13 yang adil dan saksama. Ikuti butiran lanjut bersama wartawan ARIF ATAN.

WARTAWAN: Perkara paling utama yang patut dilaksanakan oleh SPR menjelang 5 Mei ini... 

SALAHUDDIN AYUB: Daftar pemilih perlu benar-benar bersih sebelum lebih 13 juta pemilih keluar membuang undi. SPR kena memastikan senarai tersebut bersih daripada segala bentuk penipuan.
Ini termasuklah nama-nama yang telah meninggal dunia kerana kita bimbang akan terdedah kepada manipulasi untuk tujuan tertentu.

Kita tidak mahu SPR berat sebelah apabila ada rakyat sendiri yang layak mengundi dan telah berdaftar sebagai pemilih tetapi tiba-tiba tidak dapat mengundi di lokasi yang sepatutnya.
Begitu juga mereka yang tidak layak mengundi tetapi nama mereka ada dalam daftar pemilih pula sewajarnya sudah digugurkan daripada senarai.

Bagaimana dengan kemungkinan penyenaraian warga asing sebagai pemilih dalam daftar oleh SPR?

Hal inilah yang sudah lama kita perjuangkan. Sejak himpunan Bersih mula-mula lagi kita secara konsisten memperkatakan isu ini. Namun, terpulanglah kepada pengurusan SPR jika masih enggan mendengar suara hati rakyat.

Sepatutnya hal itu sudah dapat ditangani dengan pelbagai aplikasi teknologi maklumat hari ini. Jadi, kita menolak keras jika masih ada lagi warga asing yang jelas tidak layak mengundi tetapi sengaja dibiar dan diberi kad pengenalan untuk melayakkannya mengundi bagi kemenangan pihak-pihak tertentu.

Pembongkaran pengundi hantu telah diambil perhatian serius oleh SPR?

Pendedahan penyandang kerusi Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar misalnya bahawa masih terdapat lebih 4,000 pengundi diragui antara contoh terkini kekangan untuk kita menempuh pelaksanaan pilihanraya yang bersih.

Begitu juga apabila penulis buku, Mutalib MD mendedahkan tidak kurang 1.7 juta pengundi hantu dijangka keluar menghampiri peti undi nanti. Ini semua suatu keadaan yang serius menunjukkan pentingnya senarai daftar yang bersih dan ini semua pastinya menuntut peranan serius SPR tanpa berdolak-dalih lagi bagi memastikan demokrasi tulen melalui pilihanraya dapat dilaksanakan.

Pandangan jika Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing di Sabah diperluas?

Jika RCI itu tidak terhad di Sabah dan dibuat di seluruh negara, kita percaya banyak lagi perkara yang turut mengemparkan dapat dibongkar. Ini kerana selepas bertahun-tahun mereka yang memperoleh kad pengenalan hasil daripada projek yang dikaitkan dengan Tun Mahathir Mohamad itu pastinya mereka beranak-pinak dan ada berhijrah ke Semenanjung.

Itu belum lagi termasuk ribuan pendatang asing yang sudah sedia masuk ke Semenanjung walaupun kawalan keselamatan sempadan negara digambarkan oleh kerajaan sebagai pada tahap terbaik.

Desakan dan “pemerhatian tajam” Bersih dan Pemantau terhadap SPR sedikit sebanyak memberi kesan kepada badan itu. Apa komen saudara?

Bagi saya, mereka sudah, sedang dan akan melakukan yang terbaik dalam memastikan proses PRU13 berjalan mengikut lunas undang-undang. Hasil suara mereka termasuk gerakan massa siri-siri himpunan Bersih lalu juga, SPR ada melakukan apa yang mereka dakwa sebagai penambahbaikan.

Masih banyak yang dituntut belum lagi dituruti. Kita minta akses media bebas tetapi diberi 10 minit rakaman. Gesaan guna dakwat kekal daripada Bersih yang sepatutnya dicalit selepas membuang undi, ditunaikan SPR tetapi sebelum buang undi.

Namun, setidak-tidaknya SPR sedar bahawa sekarang tidak lagi seperti dahulu apabila keputusan dan tindakan mereka sentiasa dalam pemantauan kumpulan pendesak yang berautoriti dan profesional.

Antara langkah baru SPR yang perlu diberi perhatian serius oleh jentera pilihanraya Pakatan Rakyat?

Pengundian awal yang sebelum ini berasal dari pengundi pos. Realiti undi pos sama dengan undi Umno-BN bukanlah suatu perkara rahsia lagi berdasarkan pengalaman pilihanraya sebelum ini.
Parlimen Setiawangsa di Wilayah Persekutuan pada PRU12 (2008) misalnya, dimenangi oleh calon Umno dengan majoriti lebih 8,000 undi selepas ditambah undi pos.

Selain itu, tindakan secara adil bukan atas politik kepartian dituntut jika pihak polis benar-benar mahu menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkahlangkah Khas) 2012 (Sosma) sepanjang pilihan raya kali ini.

Tiada ulasan: