Ahad, 7 April 2013

SPRM berhak teruskan siasatan walaupun tanpa kerjasama Taib Mahmud, kata bekas pengarah

Oleh Md Izwan

 Menurut bekas pengarah SPRM Datuk Akhbar Satar, agensi tersebut masih berhak menyiasat Ketua Menteri Sarawak Tai Mahmud.KUALA LUMPUR— Bekas pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Akhbar Satar berkata Tan Sri Abdul Taib Mahmud masih berhak disiasat oleh agensi penguatkuasa tersebut walaupun Ketua Menteri Sarawak tersebut enggan bekerjasama.

Akhbar yang dihubungi The Malaysian Insider berkata SPRM perlu meneruskan siasatan tanpa perlu memfokuskan untuk mendapatkan kerjasama Taib, sebaliknya mendapatkan bukti ataupun saksi-saksi untuk memberikan keterangan keatas pemimpin utama di Sarawak tersebut.
“Walaupun tanpa kerjasama Taib, SPRM masih berhak untuk meneruskan siasatan.

“Tidak perlu menunggu kerjasama beliau, SPRM boleh mengumpulkan bukti dan mendapatkan keterangan bertulis saksi untuk mendakwa tertuduh jika terdapat kesalahan,” kata Presiden Persatuan Fraud Bertauliah Malaysia (Association of Certified Fraud Examiners, Malaysia Chapter) itu mengulas tentang kenyataan Abdul Taib baru-baru ini yang mendakwa SPRM mahu menjadikannya mangsa dan secara terbuka berkata enggan bekerjasama.

Semalam, media melaporkan Abdul Taib mendakwa dirinya menjadi mangsa permainan nakal oleh SPRM dan menyatakan pendirian tidak akan bekerjasama dengan agensi tersebut dalam siasatan rasuah yang dipalitkan ke atasnya.

Ketua menteri Sarawak paling lama tersebut mendapat perhatian umum bulan lepas selepas sebuah kumpulan aktivis alam sekitar mendedahkan video dokumentari menuduh pemimpin utama Barisan Nasional tersebut menerima berjuta-juta ringgit hasil daripada perjanjian tanah di negeri Borneo tersebut.

Abdul Taib juga menegaskan dirinya tidak bersalah, mendakwa sepupunya dan pihak tertentu cuba menyabitkan dirinya dalam pendedahan video tersebut dengan menawarkan diri mereka sebagai ejennya untuk mendapatkan ganjaran.

Akhbar memberitahu SPRM boleh menggunakan peruntukkan yang terdapat dalam Seksyen 30(1) dengan memanggil saksi yang terlibat dalam salahguna bagi memberikan keterangan mahupun bukti, kemudiaan pendakwaan atau individu yang disyaki boleh dipanggil untuk siasatan.

“Seksyen 30(1), SPRM boleh mendapatkan atau mengarahkan mana-mana individu untuk beri keterangan, menyerahkan dokumen, rekod dan akaun serta kenyataan bertulis berkenaan segala maklumat yang diperlukan.

“Saksi yang dipanggil perlu menjawab dan mendedahkan semua,” tambah Akhbar, yang pernah berkhidmat sebagai pengarah SPRM di Perlis dan Negeri Sembilan.

Selepas semuanya selesai, SPRM kemudiaan boleh memanggil individu yang tertuduh ke muka pengadilan dan peruntukkan dibawah Seksyen 69 boleh diguna pakai jika kegagalan hadir ke mahkamah.

“Sekiranya gagal atau enggan hadir, seseorang itu boleh dikenakan penalti dan penjara tidak lebih dua tahun, ataupun kedua-duanya sekali,” terang Akhbar.

Beliau juga berkata, SPRM perlu bertindak pantas dalam siasatan dan pada masa sama memastikan mempunyai asas yang kukuh sebelum untuk melakukan pendakwaan bagi mengelakkan pihak mahkamah menolak kes tersebut bukti dan keterangan saksi lemah.

Dalam video berjudul  “Inside Malaysia’s Shadow State”, penyiasat Global Witness (GW) itu menyamar menjadi pelabur luar, menunjukkan beberapa keratan video tentang perbualan dengan sepupu dan peguam Ketua Menteri Sarawak, untuk membeli tanah dengan keuntungan besar namun akan menyebabkan orang asal di kawasan tersebut akan kehilangan tanah.

GW, organisasi berpengkalan di United Kingdom, mengeluarkan bukti video mengenai urusan jual beli haram tanah di Sarawak yang dilihat untuk mengaitkan ketua menteri dan keluarganya dimana turut dikeluarkan oleh media antarabangsa Al-Jazeera dan The Huffington Post.

Abdul Taib, 76 telah menjadi ketua menteri selama 32 tahun semenjak 1981.

Kekayaan peribadinya telah menimbulkan kontroversi dengan pengkritiknya menuduh beliau memperolehinya dengan cara salah.

Tiada ulasan: