Ahad, 7 April 2013

SRA Kebun Baharu Dapat Bangunan Tambahan Bernilai RM5 Juta


MB Kenduri Rakyat Kuala Langat 06

KUALA LANGAT  : Sekolah Rendah Agama (SRA) Kebun Baharu menerima RM5 juta untuk membina bangunan tambahan bagi keselesaan pelajarnya.

MB Kenduri Rakyat Kuala Langat 08

Exco Adat Melayu dan Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata pembinaan sebuah bangunan empat tingkat yang memuatkan 24 bilik darjah itu akan dimulakan hujung tahun ini dan dijangka siap selewatnya-lewatnya dalam tempoh dua tahun.

Katanya, peruntukan pembinaan itu diberikan ekoran kapasiti pelajar yang meningkat setiap tahun yang menyebabkan ketika ini pelajar terpaksa belajar di surau sekolah terbabit.

“Setakat ini, sekolah itu mempunyai seramai 1,529 pelajar bagi kedua-dua sesi. Keadaan yang sesak menyukarkan mereka untuk belajar. Bangunan kantin juga kita akan dirikannya, ” katanya ketika ditemui selepas Majlis Kenduri Kesyukuran pembinaan surau dan cadangan pembinaan bangunan Sekolah Rendah Agama, di Kampung Medan, di sini.

Sementara itu, Guru Besar SRA Kebun Baharu, Norehan Mahamud mengucapkan kesyukuran dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri.

MB Kenduri Rakyat Kuala Langat 07

Katanya, kapasiti pelajar yang ramai menyebabkan pelajarnya tidak selesa untuk mengikuti pembelajaran.

“Walaupun kita mempunyai empat blok yang memuatkan 18 buah kelas tetapi disebabkan pelajar yang ramai, ia menjadi sesak. Sekolah ini juga terhimpit dengan pembangunan perumahan yang padat, jadi tindakan Kerajaan Negeri membantu pelajar sangat dihargai,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menghadiri majlis kesyukuran sempena siap pembinaan bangunan gantian surau SRA Kampung Medan di sini

Surau berkenaan dilengkapi tandas dan juga tempat wuduk dengan kos sebanyak RM490,000.
Hadir sama Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani.

Dalam majlis itu juga, Abdul Khalid turut menyampaikan bantuan Skim Mesra Usia Emas bagi DUN Sijangkang dan sumbangan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta Pelancaran Mumtaz Milikku 2013.

Yunus turut memaklumkan program Mumtaz Milikku melahirkan banyak pelajar cemerlang dalam Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA).
MB Kenduri Rakyat Kuala Langat 05
 Mengikut rekod, pada 2008 sebanyak 48 pelajar cemerlang ; 2009 sebanyak 70 pelajar cemerlang ; sebanyak 100 pelajar bagi tahun 2010 ; 126 pelajar pada tahun 2011 dan 135 pelajar pada 2012.

Manakala jumlah yang mengikuti program ini turut bertambah dari tahun. Pada 2008 dan 2009 sebanyak 120 pelajar ; 2010 sebanyak 180 pelajar ; 2011 sebanyak 202 pelajar dan pada tahun 2013 sebanyak 222 pelajar.

” Ia menunjukkan peningkatan setiap tahun. Walaupun kos kelas tambahan ini tidak sampai RM20,000 setahun tetapi terdapat unsur kejayaan daripada program ini, jadi saya harap ia akan berterusan,” katanya.

Tiada ulasan: