Pasukan keselamatan akan memastikan tahap keselamatan di Lahad Datu, lokasi pencerobohan kumpulan pengganas di pantai timur Sabah, berada dalam keadaan baik menjelang pilihan raya umum ke-13 5 Mei ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dan sentiasa mengawasi Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE) bagi menghalang penceroboh daripada menggugat proses pilihan raya.

"Sekiranya ada gelombang kedua atau ketiga kemasukan penceroboh, kami sentiasa berada di barisan hadapan termasuk di kawasan perairan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan konsert 'Malam Barisan Kita' di Kuala Lumpur malam tadi.

Beliau berkata pasukan ATM dan PDRM akan berada di semua pusat daerah mengundi (PDM) di Lahad Datu untuk memastikan keselamatan.

Turut hadir pada konsert itu ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Md Zin, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Kamaruddin Siaraf.

Sempena acara itu, sejumlah RM515,000 daripada Felda Global Ventures, DRB Hicom dan Metro Kajang Holdings disalur kepada tabung kebajikan ATM dan PDRM.- Bernama