Jumaat, 12 April 2013

Tian Chua fail batal tuduhan isu Lahad Datu, sebutan kes 6 Jun

Oleh Norutul Ilham

KUALA LUMPUR  Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua pagi ini memfailkan permohonan pembatalan pertuduhan ke atasnya di bawah Akta Hasutan isu kontroversi kenyataannya berkaitan pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Beliau yang hadir ke mahkamah diwakili peguamnya, Latheefa Koya dan Eric Paulsen.

Hakim Norshahidah Awang menetapkan 6 Jun sebagai tarikh sebutan semula pendakwaan terhadap Ahli Parlimen Batu itu.

Menurut Latheefa, pembatalan itu berikutan pertuduhan ke atas Tian cenderung bermotifkan politik dan berniat jahat.

“Pertuduhan salah di sisi undang-undang kerana kesalahan menghasut di bawah Akta Hasutan hanya boleh digunapakai sekiranya perkataan-perkataan tersebut merujuk kepada Yang di Pertuan Agong dan bukannya parti politik seperti Umno.

“Akta Hasutan merupakan akta lapuk yang diperkenalkan penjajah dan tidak sesuai digunakan masa sekarang,” katanya selepas memfailkan pembatalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini.

Sementara itu, Eric mempersoal pertuduhan yang dikenakan terhadap Tian dan bertegas ia  bercanggah dengan Perlembagaan Negara yang memberikan hak bersuara.

“Akta Hasutan bersifat menindas seperti yang berlaku dalam kes ini. Jika Umno tidak setuju dengan kenyataan Tian, mereka sepatutnya saman fitnah secara sivil,” katanya.

Tian berdepan dakwaan di mahkamah apabila kenyataannya berkaitan krisis Lahad Datu menjadi kontroversi akibat putar belit akhbar kawalan Umno.

Beliau dituduh di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 (1) dalam akta sama.

Kenyataan itu disiar Keadilan Daily pada 1 Mac lalu.

Dalam kenyataan itu, Tian menyifatkan pencerobohan di Lahad Datu adalah konspirasi Umno untuk menakut-nakutkan rakyat dari isu pokok iaitu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pemberian kad pengenalan kepada warga asing di Sabah. – NS

Tiada ulasan: