Rabu, 17 April 2013

Tian Chua : Isu Seks Helah Jijik Burukkan PR


tian chua pc pkr 01

SHAH ALAM  : Polis diminta menjalankan siasatan berhubung penyebaran video seks individu dikaitkan dengan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali kerana ia dilihat didalangi pihak tertentu bagi mencemarkan imej pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, PR percaya helah menjijikkan ini dilakukan Umno-BN bagi memburukkan PR tambahan pula Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan berlangsung tidak lama lagi.

“Mustafa Ali adalah mangsa baru helah kotor Umno-BN, beliau sudah menafikan bahawa terlibat dalam video seks ini malah menuduh Umno-BN cuba memfitnah beliau.

“Malaysia adalah negara di bawah pemerintahan undang-undang, pihak berkuasa sepatutnya mengambil tindakan segera untuk mengelakkan pihak tertentu menggunakan helah kotor menyebar fitnah serta mencemarkan arena politik negara kita.

“Bagaimanapun, sehingga kini pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan untuk memantau atau menyiasat perkara ini. Oleh demikian, kami percaya semua ini adalah helah kotor pihak musuh yang bermatlamat menabur fitnah terhadap pemimpin PR,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tian Chua mendakwa polis ‘lepas tangan’ dalam isu sebegini seperti sebelum ini apabila video lucah melibatkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwak Ibrahim disebarkan.

“Namun begitu, polis tidak pandang serius dan ambil tindakan terhadap video rekaan ini, malah membisu apabila media pro Umno-BN melaporkannya demi menjatuhkan imej PR.

“Contohnya semasa pilihanraya negeri Sarawak pada 2011, insiden Datuk T dedahkan video seks serang Anwar, walaupun Anwar sudah melaporkan kepada polis, kes ini tidak ada apa-apa sampai kini, tidak ada sesiapa dikenakan tindakan.

“Malah pihak mahkamah sudah memutuskan Anwar tidak bersalah dalam kes liwat II pada Januari tahun ini, Anwar juga menang kes saman terhadap Utusan Malaysia yang menuduh beliau menyokong pergerakan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) awal tahun ini.

Beliau berkata, PKR mematuhi kedaulatan undang-undang dan menghormati pilihan raya yang dijalankan secara adil dan saksama lantas menyeru Umno-BN berhenti memainkan helah kotor serta mencabar Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak hadir di forum manifesto pilihan raya anjuran Bersih pada esok berdebat dengan Anwar di hadapan rakyat.

Tiada ulasan: