Ahad, 7 April 2013

Tiga Kampung Di Bestari Jaya Terima Geran Tanah


Penyerahan Borang 5A Kg. Jaya Setia 01

BESTARI JAYA : Tiga buah kampung di Bestari Jaya menerima borang 5A daripada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Tiga buah kampung berkenaan adalah Kampung Pecah Batu, Kampung Permai, Kampung Jaya Setia.

Penyerahan Borang 5A Kg Jaya Setia 05

Seramai 121 orang penduduk kampung tersebut menerima borang 5A berkenaan selepas Menteri Besar berjanji untuk menyelesaikan hak milik tanah mereka sebulan lalu.

Bagi Khairiah Mustapha, 50, dari Kampung Permai melahirkan gembira selepas 10 tahun memohon akhirnya tanah berkenaan menjadi hak miliknya.

“Saya sangat syukur dan lega kerana usaha dan penantian saya akhirnya ditunaikan hari ini, terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang membantu,” katanya.

Seorang lagi dari Kampung Jaya Setia, Samsuri Mat Kesah, memuji Menteri Besar kerana menepati janji.

Penyerahan Borang 5A Kg Jaya Setia 04

“Dulu Menteri Besar dan Pegawai Daerah berjanji untuk menyelesaikan hak milikan tanah ini dan akhirnya dalam tempoh sebulan diselesaikan,” katanya.

Maimunah Roslan, 70, berkongsi rasa gembira dan syukur setelah penantiannya untuk memiliki hak milik tanah ditunaikan Abdul Khalid.

“Saya mewakili suami saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana akhirnya menunaikan hasrat suami saya untuk menerima hak milikan tanah ini setelah puluhan tahun saya duduk di sini,” katanya.

Sementara itu, Abdul Khalid di dalam ucapannya berkata sehingga kini lebih 20,000 penduduk di Selangor diberikan geran hak milik dengan bayaran premium RM1,000.

Katanya, jika masih ada penduduk yang tidak mampu membayar premium tersebut, Kerajaan Negeri menyediakan alternatif bagi membantu mereka.

“Kalau tidak mampu bayar, jangan senyap, saya akan berusaha minta bantuan Majlis Agama Islam Selangor (Mais), zakat dan kita juga akan berikan mereka kerja supaya premium tersebut boleh dibayar,” katanya.

Hadir sama mantan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Noraini Roslan dan Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohamad Yazid Bidin.

Tiada ulasan: