Sabtu, 13 April 2013

Tingkat pendapatan pesawah Bagan Serai fokus KEADILAN – Muhd Nur

Oleh Aedi Asri

BAGAN SERAI L: Calon Bagan Serai (P058), Dr Muhammad Nur Manuty berkata, membela nasib pesawah padi di Parlimen itu menjadi agenda utama KEADILAN jika berjaya mengekalkan kerusi berkenaan pada PRU 13.

Katanya, petani sawah Bagan Serai dibelenggu pelbagai masalah yang boleh menjejaskan sumber pendapatan mereka.

“Kita akan bela kedudukan pesawah padi yang sudah 30 tahun tidak mendapat pembelaan.

Nur

“Misalnya harga padi yang tidak meningkat. Ini akan jadi keutamaan kita jika dipilih pada pilihan raya akan datang,” katanya kepada Keadilan Daily.

Sebahagian besar penduduk Bagan Serai terlibat dalam sektor pertanian, terutama penanaman padi.

Pada 2012, ‘Deklarasi dari Gunung Semanggol’ oleh PAS mengutarakan beberapa tuntutan kepada kerajaan, antaranya menaikkan harga lantai belian padi oleh kilang daripada RM750 setan kepada RM1,150.

Deklarasi itu juga menuntut subsidi harga padi dinaikkan sebanyak 50 peratus, daripada RM248.10 setan kepada RM372.10.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Nur berkata, penerimaan penduduk setempat membuka peluang cerah kepada KEADILAN untuk mengekalkan kemenangan.

“Dari sambutan akar umbi, umumnya baik, hari demi hari meningkat. Culaan kita menunjukkan, dari 10 rumah yang dikunjungi, enam hingga tujuh memberi sokongan kepada kita.

“Inilah hasil jentera parti dan rakan-rakan yang turun ke lapangan berjumpa masyarakat,” kata Pengerusi KEADILAN Perak itu.

Parlimen Bagan Serai terbahagi kepada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) – Alor Pongsu, Gunung Semanggol dan Selinsing.

Pada pengumuman lalu, Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Muhamad Nur yang juga Ketua Penerangan KEADILAN adalah calon yang mampu membawa mesej Pakatan Rakyat bagi membela rakyat tempatan.

Beliau menggantikan Mohsin Fadzli Samsuri yang keluar selepas menang kerusi berkenaan menggunakan tiket KEADILAN pada PRU 12. – NS

Tiada ulasan: