Isnin, 1 April 2013

Umno BN kena dedahkan perjanjian kontrak pertahanan RM4.27 bilion

Oleh Aliff Fikri

KUALA LUMPUR: Umno BN digesa menjelaskan perjanjian dengan pelbagai agensi untuk pembelian peralatan pertahanan berjumlah RM4,27 bilion pada Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa 2013 (Lima’13), di Langkawi, Kedah baru-baru ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, perjanjian tersebut perlu didedahkan kerana ia dibuat selepas tempoh mandat rakyat kepada kerajaan berakhir dan mereka berhak mengetahuinya.

mahfuz-omar

“Umno BN tiada lagi hak membuat keputusan berhubung implikasi kewangan negara kecuali hal pentadbiran harian seperti pemberian gaji kerana tempoh pemerintahan mereka tamat pada 8 Mac 2013,” kata Mahfuz pada sidang media di Pejabat Agung PAS Pusat, hari ini.

Tambahnya, walaupun tempoh Parlimen menurut Perlembagaan berakhir pada 30 April ini, namun secara moral politik, tindakan itu salah.

“Sehingga kini Umno BN masih belum menyenaraikan syarikat dan agensi kerajaan yang terlibat.

“Perjanjian tergesa-gesa ini menimbulkan keraguan seperti mana yang berlaku dalam pembelian Scorpene. Berapa ramai lagi orang yang akan mendapat habuan komisen melalui pembelian kontrak ini?

“Beli peralatan canggih-canggih, tetapi pertahanan negara terus dipersoal seperti isu Lahad Datu. Setiap kali Lima, Malaysia beli peralatan pertahanan, tapi tak dapat nak kesan kemasukan penceroboh yang mengancam keselamatan negara.

“Walhal penceroboh seramai 200 orang itu, hampir kesemua dari mereka umurnya sama dengan Tun Dr Mahathir (Mohamad), tapi sampai sekarang tak boleh nak selesaikan,” sinis Naib Presiden PAS itu.

Pada Khamis lalu, sebanyak 24 perjanjian dan kontrak bernilai RM4.271 bilion yang membabitkan industri pertahanan ditandatangani dalam Lima 2013.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi dilapor berkata, jumlah keseluruhan itu diperoleh menerusi enam dokumen kontrak serta tiga surat persetujuan kementerian bernilai RM548 juta. – NS

Tiada ulasan: