Rabu, 10 April 2013

Umno memikirkan untuk melawan DAP, bergantung kepada undi Melayu

Oleh Jahabar Sadiq
Pengarang

KUALA LUMPUR — Umno merancang untuk meletakkan calon mereka sama ada di kesemua kerusi DAP atau kebanyakkan daripadanya kerana undi Melayu boleh diharapkan berbanding undi Cina, kata ahli strategi.

The Malaysian Insider difahamkan, bilik perang Barisan Nasional (BN) percaya, calon Umno boleh mematahkan serangan DAP di Johor dan kerusi majoriti Melayu lain berbanding dengan MCA.

“Calon Umno mempunyai peluang lebih cerah untuk mempertahankan kerusi BN berbanding MCA, jadi kami melihat kemungkinan mengetengahkan lebih ramai calon Melayu,” kata sumber dari gabungan pemerintah itu kepada The Malaysian Insider.

Penasihat DAP Lim Kit Siang akan bertanding di kerusi tradisional MCA di Gelang Patah manakala ahli strategi parti Liew Chin Tong mahukan kerusi Kluang. Ketua PKR Johor Datuk Dr Chua Jui Meng telah dinamakan untuk bertanding di kerusi Segamat yang disandang oleh MIC.

Difahamkan, BN akan menggunakan tiket kaum dalam strategi melawan calon Cina Pakatan Rakyat (PR) terutamanya di kubu Umno di negeri Johor dimana gabungan pemerintah tersebut menang 80 peratus daripada undi Melayu dalam Pilihan Raya 2008.

“MCA mempunyai peluang tipis untuk menang dalam pertempuran dengan DAP. Jadi, kami boleh mengalahkan DAP dengan undi Melayu dan 25 peratus sokongan Cina,” satu lagi sumber dari BN memberitahu The Malaysian Insider.

Akhbar berbahasa Cina Sin Chew Daily melaporkan minggu ini, MCA akan memberikan kerusi mereka kepada Umno dalam Pilihan Raya 2013, dalam apa yang dilihat sebagai pengakuan daripada parti Cina BN itu mereka tidak yakin untuk menang di kerusi seharusnya milik parti itu.

MCA menang 15 daripada 40 kerusi parlimen yang mereka tandingi dalam Pilihan Raya 2008. Dikatakan juga MCA akan memberikan kerusi Tronoh di Perak kepada MIC, yang juga mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya umum 2008.

Akan tetapi langkah tersebut tidak disenangi oleh akar umbi MCA yang takut mereka tidak akan mendapat kembali kerusi tersebut dalam pilihan raya pada masa hadapan dan akan mengurangkan kuasa mereka dalam gabungan pemerintah itu.

Timbalan pengerusi BN dan timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan semalam gabungan pemerintah itu sedang “melihat” kemungkinan untuk meletakkan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman di Gelang Patah berbanding dengan calon MCA.

Beliau mendakwa sokongan akar umbi kepada cadangan tersebut adalah positif dan mengatakan Lim tidak menjangkakan ini dan beliau “sedang terperangkap di sana”, mencadangkan ahli parlimen veteran itu akan kalah dikubu kuat BN itu.

“Kami mengambil kira pandangan dari semua pihak kerana kita perlu kaji dengan lebih lanjut kerana terdapat pro dan kontra,” kata Muhyiddin.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek enggan untuk bertanding di kerusi parlimen itu mengatakan pemimpin tempatan Jason Teoh akan menjadi calon manakala akhbar dikawal partinya The Star mempromosikan Abdul Ghani untuk kerusi tersebut.

Abdul Ghani yang berumur 66 tahun itu berkemungkinan besar akan digantikan oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohd Khaled Nordin yang tidak akan bertanding semula di kerusi parlimen Pasir Gudang.

Terdapat hampir 13.3 juta pengundi, termasuk 5,200 di luar negara yang layak untuk mengundi dalam Pilihan Raya 2013 untuk memilih 222 ahli parlimen dan 505 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di 12 negeri. Sarawak telah menjalankan pilihan raya negeri pada 2011.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bertemu pagi ini untuk menentukan tarikh penamaan calon dan hari mengundi untuk apa yang dilihat sebagai pilihan raya paling sengit dalam sejarah Malaysia.

Tiada ulasan: