Sabtu, 6 April 2013

Video ke-2 Zul Noordin hina agama Hindu bukti rasis – Surendran

Oleh: Ruqayya Rahman

KUALA LUMPUR:  Video kedua ceramah Zulkifli Noordin yang didapati terus menghina agama Hindu, membuktikan sikap perkauman dipamerkan Naib Presiden Perkasa itu.

Naib Presiden KEADILAN, N Surendran berkata demikian mengulas video terbaru ucapan ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu  yang tersebar di internet semalam.

Video kedua itu susulan rakaman ucapan Zulkifli dalam satu majlis ceramah yang didedah minggu lalu, di mana beliau didapati menghina agama Hindu dan Tuhan sembahan penganut agama berkenaan.

Bagaimanapun, Zulkifli memberi alasan ceramah itu dibuat 12 tahun lalu ketika beliau masih di dalam Pas dan kerana ‘terpengaruh’ dengan Pembangkang.

“Ceramah kedua ini bertarikh 6 Mac 2013. Masa tu beliau sudah secara rasmi bergelar pimpinan Perkasa dan secara terang menjadi sekutu kuat Umno Barisan Nasional.

“Video kedua itu bukti jelas beliau bukan terpengaruh dengan sesiapa, tetapi peribadinya sendiri sebagai seorang rasis yang ekstrem,” kata Surendran.

Katanya, video ucapan terbaru ini cukup untuk mengheret Zulkifli ke mahkamah di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketidakharmonian, perasaan permusuhan dan kebencian berkaitan agama.

Tambah beliau, kenyataan itu bukan saja bercanggah dengan tradisi rakyat berbilang kaum, malah tidak selari dengan ajaran Islam seperti dinyatakan pimpinan Pakatan Rakyat sebelum ini.

Justeru beliau menggesa Ketua Polis dan Peguam Negara segera mengambil tindakan segera ke atas Zulkifli.

“Sikap berdiam diri kerajaan Umno dan Barisan Nasional menunjukkan mereka bersetuju dan melindungi tindakan Zulkifli sebagai alat dan agen perkauman mereka,” kata Surendran.

Tiada ulasan: