Ahad, 7 April 2013

Wajah Najib, slogan 1Malaysia teras kempen BN

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN
Wajah Najib, slogan 1Malaysia teras kempen BN
Salah satu papan iklan yang memaparkan slogan "Kita Sokong Barisan 1Malaysia'.
 
SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) memilih untuk memaparkan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan gagasan 1Malaysia, yang diperkenalkan beliau empat tahun lalu, sebagai bahan kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) perikatan itu.

Mengulas pembaharuan ini, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang juga Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ia adalah pendekatan strategik BN bagi menonjolkan parti dan pemimpinnya yang sudah berjaya membawa perubahan di negara ini sebagai ikon masa depan buat Malaysia.   

"Memang ini adalah strategi kita dan kita melakukan itu kerana Datuk Seri Najib merupakan wajah yang dikenali dan paling disenangi oleh rakyat Malaysia," ujar beliau yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno kepada Sinar Harian Online.

Saifuddin diminta mengulas berhubung pemasangan papan-papan tanda dan bendera-bendera yang menonjolkan wajah Najib dan slogan 1Malaysia yang dipasang di seluruh negara dan tentunya paling menonjol di Putrajaya.

Tinjauan Sinar Harian Online di Lembah Klang mendapati seolah-olah satu pesta. Kibaran bendera parti-parti politik dapat dilihat sebelum Dewan Rakyat dibubarkan lagi.

Bukan sahaja bendera parti pemerintah, pembangkang juga turut mengibarkan bendera parti masing-masing di kawasan-kawasan panas seluruh negara.

Wajah Najib dan slogan baru kempen pilihan raya mula mendapat tempat ketika pilihan raya kecil Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Sibu, yang diadakan ketika peralihan kuasa daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Najib.

Berbeza dengan pilihan raya-pilihan raya sebelum ini, BN kali ini dilihat  menonjolkan sepenuhnya slogan 1Malaysia dengan wajah Najib di papan-papan tanda yang diletakkan bersama-sama dengan bendera parti itu.

Papan tanda yang dipasang antaranya bertulis "Kita Sokong Barisan 1Malaysia". Pada pilihan raya umum sebelum ini slogan dan nama Barisan Nasional atau BN diberi penekanan.

Bagaimanapun kemungkinan nama BN belum ditekankan sebab tempoh berkempen belum bermula lagi.

Mengulas lanjut, Saifuddin mengakui, taktik ini akan berterusan dan aakn digunakan sepanjang tempoh berkempen nanti.

"Ya! Datuk Najib adalah wajah utama yang akan kita gunakan," ujarnya sambil menambah, kajian mengenainya kesannya juga sudah dibuat.

"Ratingnya memang sangat tinggi, ini bukan suka-suka," ujar beliau lagi.

Sementara itu, menurut Naib Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BBCBN), Datuk Abdul Rahman Dahlan pula, imej Najib ditonjolkan kerana sokong BN bermakna sokong Najib sebagai PM.

"Apa pun ia bermula dan berakhir dengan jawatan perdana menteri.

"Ini tidak salah. Samalah juga dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. (Wajah) beliau pun di kiri kanan depan belakang," ujar beliau.

Rahman yang merupakan Ahli Parlimen Kota Belud menambah, keputusan memilih untuk menonjolkan wajah perdana menteri itu juga berkait rapat dengan populariti pemimpin nombor satu negara itu.

"Formula ini cukup bagus. 1Malaysia juga adalah satu idea yang dibawa oleh Datuk Seri Najib Tun Razak. Hari ini kita memilih kerajaan dan perdana menterinya," ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, tidak ada salahnya meletakkan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan dan wajah Najib dalam siri kempen BN.

"Ini merupakan satu 'track record' yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana pemimpin sekali pun.

"Dalam masa empat tahun beliau telah memperkenalkan banyak transformasi. Apa yang beliau ketengah dan sasarkan kebanyakannya juga telah tercapai," ujarnya.

Sementara itu, penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain pula memberitahu pendekatan yang digunakan oleh BN bukanlah suatu yang menyalahi apa juga perundangan atau peruntukan berkaitan pilihan raya.

"Ini tidak ada salah apa-apa kerana ia menerangkan dasar-dasar kerajaan. Ini dasar-dasar lama yang diperkenalkan balik. Ia tidak salah," ujar beliau.

Menurut seorang lagi penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Shamsul Adabi Mamat, dalam kempen pilihan raya beberapa perkara harus diambil kira.

"Ia termasuklah imej PM dan konsep 1Malaysia yang dilaksanakan semasa pentadbiran beliau dan ini yang dekat dengan rakyat dan boleh memberi gambaran kepada rakyat, apa yang BN buat sepanjang empat tahun ini," katanya.

Katanya ia tidak ubah sebagai suatu "reminder" yang akan mengingatkan rakyat bahawa kerajaan sedia ada ini sudah membuktikan kemampuannya.

Tiada ulasan: