Ahad, 28 April 2013

Yang mahu harga minyak turun bukan orang kaya, tapi rakyat miskin!

Oleh Aisha Geoffrey

KUALA LUMPUR: Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak tidak faham kemahuan rakyat yang sentiasa berharap supaya harga minyak diturunkan, bukan memberi alasan karut kononnya penurunan harga minyak hanya akan menguntungkan orang kaya.

“Penurunan harga minyak sememangnya ditujukan kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana. Orang kaya tidak ambil kisah dengan penurunan sebanyak 20 sen atau 50 sen.

Perhimpunan bantah kenaikan harga minyak- Gambar hiasan
Perhimpunan bantah kenaikan harga minyak- Gambar hiasan

“Saya yakin apabila Pakatan Rakyat menawan Putrajaya, orang yang paling gembira dengan penurunan harga minyak adalah rakyat miskin,” kata calon KEADILAN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar, Azan Ismail.

Beliau mengulas kenyataan Najib itu yang turut menyatakan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah lebih baik dan menguntungkan rakyat.

“Najib memang mementingkan diri sendiri. Beliau lahir dalam keluarga bangsawan, dibesarkan dengan mewah dan tak pernah rasa susah, sebab itu dia tidak faham betapa pentingnya harga minyak diturunkan,” bidas Azan.

Menurutnya, penurunan harga minyak akan memberi kesan kepada kebanyakan rakyat berbanding 10 peratus golongan kaya di negara ini.

“Hanya ada 10 peratus orang kaya, 20 peratus golongan sederhana, manakala 70 peratus lagi rakyat miskin. Ini dibuktikan melalui pemberian BR1M kepada lebih enam juta penduduk.

“Bermakna, enam juta orang terbabit akan gembira dan mendapat untung apabila harga minyak diturunkan,” katanya kepada Keadilan Daily.

Mengulas lanjut, Azan berkata, pemberian BR1M tidak akan memberi kesan jangka panjang kepada rakyat keseluruhan kerana ia hanya ‘gula-gula’ untuk membeli undi.

“BR1M tidak akan diteruskan setiap tahun. Pelaksanaannya memakan belanja sehingga RM8 bilion, sedangkan dengan menurunkan harga minyak, kosnya tidak sampai begitu rupa, jadi yang mana lebih realistik?” tegas Pengerusi KEADILAN Terengganu itu.

“Dari segi ekonomi pula, rantaian akibat penurunan harga minyak akan menurunkan harga barangan dan perkhidmatan lain.

“BR1M pula cuma akan menambah kuasa membeli pengguna dalam satu masa menyebabkan permintaan melebihi tawaran sekaligus menyebabkan inflasi,” kata Azan.

Tiada ulasan: