Jumaat, 26 April 2013

Zuraida cabar calon BN debat manifesto isu rakyat Ampang

Oleh Arif Juhani

AMPANG : Calon KEADILAN Ampang, Zuraida Kamaruddin mencabar lawannya dari BN, Rozaidah Ismail berdebat isu manifesto, khususnya mengenai isu rakyat setempat bagi membolehkan pengundi Parlimen itu memilih calon berkualiti pada PRU 13.

“Saya dengan dia (Rozaidah) dua-dua pernah menjadi Ahli Parlimen Ampang. Apa salahnya jika diadakan debat antara kami untuk berhujah tentang prestasi yang pernah dicapai ketika memimpin dahulu,” kata Zuraida.

Beliau berkata demikian pada ceramah kelompok di Bilik Gerakan Utama KEADILAN di Kampung Dato’ Mufti Shuib, Kampung Tengah, Lembah Jaya.

Zuraida berkata, ketika era BN memerintah Selangor, banyak masalah penduduk yang gagal diselesaikan terutama berkaitan isu setinggan.

“Ketika (Datuk Seri) Khir Toyo memerintah dahulu, dia meninggalkan ‘najis’ untuk kita. Dia lancarkan program ‘Setinggan Sifar’, akhirnya rumah setinggan sifar, rumah pun sifar sebab ada lagi 8,000 penduduk setinggan yang belum dapat rumah.

“Mereka ditindas Umno BN dan syarikat pemaju tanpa sebarang pembelaan. Tetapi sebaik sahaja Pakatan Rakyat perintah, kita panggil syarikat pemaju dan minta mereka bayar pampasan setimpal kepada penduduk. Walaupun ada syarikat yang ‘bungkus’, kita usahakan juga beri penduduk pampasan,” ujar Ketua Wanita KEADILAN itu.

Tiada ulasan: